Murid Tahun Satu solat Dhuha di sekolah
KOTA BHARU: Setiap hari di waktu rehat, seorang murid Tahun Satu, Muhammad Haziq Amsyar Ahmad Mustamam, 7, menunaikan solat sunat Dhuha berseorangan di surau sekolahnya. Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 1, di sini itu, memperuntukkan beberapa minit dari masa rehatnya untuk menunaikan solat Dhuha yang juga amalan rutin hariannya. Beliau yang ditemui di sekolahnya pagi tadi berkata, amalan itu disarankan oleh ibu bapanya sejak awal tahun ini, malah turut diamalkan di rumah. "Ketika waktu rehat pada jam 9.45 pagi, saya akan makan makanan yang dibekal ibu terlebih dahulu sebelum ke surau untuk menunaikan solat Dhuha. "Sejak awal sesi persekolahan pada Januari lalu, saya bersolat (Dhuha) seorang diri dan kini mula mengajak rakan lain untuk sama-sama berkongsi pahala," kata anak sulung daripada empat beradik itu. Muhammad Haziq Amsyar yang mula bersolat lima waktu sejak berusia lima tahun berkata, amalan solat Dhuha di sekolah tidak membebankannya, malah masih boleh bermain dengan rakan lain kerana waktu rehat diperuntukkan masa selama setengah jam. Sementara itu, Guru Besar SK Sultan Ismail 1, Mohd Nawawi Kelasah, berkata pihaknya sudah lama menyedari amalan yang dilakukan murid Tahun Satu itu dan menggalakkan murid lain mencontohinya. "Sebelum ini, hanya murid Tahun Enam saja yang menunaikan solat Dhuha di surau sekolah, selain bacaan Yasin dan solat Hajat sempena peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). "Amalan yang dilakukan Muhammad Haziq Amsyar dapat dijadikan contoh kepada murid lain, malah beliau sendiri ada mengajak beberapa rakannya yang lain untuk turut sama," katanya.
0 Komentar untuk "Murid Tahun Satu solat Dhuha di sekolah "